Wednesday, February 4, 2009

Jubli Perak pemerintahan Sultan Azlan Shah disambut sederhana

SULTAN Perak Sultan Azlan Shah telah memberi perkenan agar sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda yang genap 25 tahun pada 3 Feb ini diadakan secara sederhana kerana baginda peka kepada keadaan ekonomi semasa.

Acara sambutan bertumpu kepada yang memperlihatkan sifat kesyukuran kepada Illahi; pentingnya pendidikan dan pelajaran; hubungan mesra dengan rakyat; penghargaan kepada individu yang banyak berjasa dan memberi khidmat setia kepada baginda; menghargai semangat hubungan antara Raja-Raja, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri dan pimpinan kerajaan persekutuan; serta menghargai perkhidmatan setia pasukan pertahanan dan keselamatan negara yang telah menunjukkan sikap pengorbanan dan taat setia yang tinggi kepada Raja dan Negara, demikian menurut Pejabat Sultan Perak Darul Ridzuan dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Acara sambutan yang memenuhi tema-tema tersebut dan diperkenan baginda adalah majlis kesyukuran bacaan Yasin dan tahlil di Majlis Ubudiah, Kuala Kangsar pada 2 Feb, dan istiadat kawalan kehormatan di perkarangan Istana Iskandariah pada 3 Feb.

Pada hari yang sama satu istiadat mempersembahkan ucapan dan taat setia dan istiadat pengurniaan khas Darjah Dato' Seri Azlanii (D.S.A.) kepada 25 penerima akan turut diadakan di Balairong Seri Istana Iskandariah.

Pada sebelah petangnya, majlis pelancaran setem memperingati Jubli Perak dan pemeran setem akan diadakan di Dewan Bandaran, Ipoh.

Baginda berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat di Arena Square, Batu Gajah, pada petang 10 Feb sebagai tanda ingatan baginda kepada tempat asal keputeraan dan persekolahan awal baginda di bandar itu.

Baginda juga akan berangkat ke Hari Anugerah Cemerlang Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), yang merupakan "alma mater" baginda.

Majlis Santapan Diraja akan diadakan di Dewan Santapan, Istana Iskandariah pada malam 14 Feb diikuti dengan Majlis Santapan Beradat Pasukan Beruniform di Dewan Khatulistiwa, Wisma Samudera, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut pada 21 Feb.

"Atas kepekaan baginda untuk tidak membebankan kerajaan, perbelanjaan untuk majlis kesyukuran, darjah kebesaran, majlis Santapan DiRaja dan Majlis Santapan Beradat akan dibiayai oleh Keluarga DiRaja," demikian menurut kenyataan itu.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Raja-raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri dan Sultan Brunei Darussalam dijangka berangkat ke majlis tersebut.

Yang turut diundang Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datin Seri Jeanne Abdullah serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Sultan Azlan Shah, yang menaiki takhta pada 3 Feb 1984, merupakan Sultan Perak ke-34 dan antara empat Sultan yang bersemayam di takhta kerajaan mencecah 25 tahun.

Mengikut sejarah Kesultanan Perak, Sultan Mansur Shah I, Sultan Perak kedua memerintah selama 28 tahun (1549-1577), Sultan Mahmud Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-11 memerintah selama 67 tahun (1653-1720) dan Sultan Idris Murshidul 'Adzam Shah I, Sultan Perak ke-29 memerintah selama 29 tahun (1887-1916).

Menurut kenyataan itu, majlis, surau dan rumah-rumah ibadat digalakkan menganjurkan acara agama berunsur kesyukuran.

"Sebagai lambang kesih sayang dan kesetiaan kepada Sultan, rakyat Perak digalak mengibarkan bendera negeri, terutamanya pada 3 Feb dan bendera persekutuan dan negeri pada 14 dan 15 Feb," kata kenyataan itu.

No comments: